Sabtu, 7 April 2012

Teori Konstruktivisme

Teori Konstruktivisme

McBrien & Brandt (1997) menyatakan konstruktivisme adalah satu pendekatan pengajaran berdasarkan kepada penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakan penyelidik berpendapat setiap individu membina pengetahuan dan bukannya menerima pengetahuan daripada orang lain. Briner,M., (1999) pula menyebut pelajar membina sendiri pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya kepada situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperoleh dengan binaan intelektual yang sedia wujud.
Menurut Brooks & Brooks (1993), teori konstruktivisme menyatakan bahawa murid membina makna tentang dunia dengan mensintesis pengalaman baru kepada apa yang mereka telah fahami sebelum ini.
Berdasarkan pandangan-pandangan di atas maka pengertian pembelajaran secara konstruktivisme bolehlah dirumuskan sebagai satu fahaman bahawa pelajar membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, pelajar akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Implikasi dari teori ini adalah pengajaran dan pembelajaran akan berpusatkan pelajar. Pengetahuan yang dipunyai oleh pelajar adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh pelajar tersebut dan bukan pengajaran yang diterima secara pasif. Guru pula berperanan sebagai fasilitator yang membantu pelajar membina pengetahuan dan menyelesaikan masalah. Guru juga sebagai pereka bentuk bahan pengajaran yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk membina pengetahuan baru. Guru akan mengenal pasti pengetahuan sedia ada pelajar dan merancang kaedah pengajarannya dengan sifat asas pengetahuan tersebut. Seterusnya ciri-ciri pembelajaran secara konstruktivisme adalah mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh pelajar, menggalakkan pelajar bertanya dan berdialog dengan pelajar lain dan gurunya, menggalakkan proses inkuiri pelajar melalui kajian dan eksperimen, memberi peluang kepada pelajar untuk membina pengetahuan baru dengan memahaminya melalui penglibatan pelajar dengan situasi dunia yang sebenar,mengambil kira dapatan kajian tentang bagaimana pelajar belajar sesuatu idea, menyokong pembelajaran secara koperatif, menganggap pembelajaran sebagai satu proses yang sama penting dengan hasil pembelajaran, menggalakkan dan menerima daya usaha dan autonomi pelajar dan akhirnya menggalakkan soalan atau idea yang dimulakan oleh pelajar yang digunakan sebagai panduan merancang pengajaran
Slaid mengenai Teori Konstruktivisme disertakan untuk tatapan bersama.


Rujukan
Teori Konstruktivisme dan PBBK. 2008. Diperolehi 8 April 2012 daripada http://www.youtube.com/watch?v=VAdO2bAq0KM.
Burhan Ramli. 2009. Penggunaan teori kontruktivisme dalam pengajaran dan pembelajaran Fizik. Diperolehi pada 5 Mei 2012 daripada http://burhan-cikgubob.blogspot.com/2009/02/penggunaan-teori-konstruktivisme-dalam.html

Tiada ulasan: